top of page

Sejarah Maahad Amir Indra Petra:

​

​

Pada peringkat awal penubuhan sekolah ini dari tahun 1942M/1362H dikenali dengan nama ‘Sekolah Tok Guru Hj Awang Nuh’.Nama Madrasah Amir Indra Petra adalah sebagai sempena nama Yg. Mulia Tengku Indra Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim,Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan.Beliau sendiri berangkat merasmikan pengambilalihan pentadbiran sekolah ini oleh Majlis Ugama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan pada tahun 1947M/1367H.
Pada masa ini,masyarakat kampong di jajahan Bachok,Kota Bharu,Pasir Puteh dan Jertih/Besut lebih mengenali dengan nama ‘Sekolah Tok Guru Hj. Awang Nuh.

Lokasi:

Kampung Pondok Beris adalah sebuah kampong kecil dalam mukim Pak Pura,Daerah Tanjung Pauh,Jajahan Bachok.Ia terletak berhampiran jalan yang menghubungkan Bandar baru Kubang Kerian dengan Bandar Bachok melalui Cabang Empat Binjai.
Jauhnya dari Simpang Bandar Baru Kubang Kerian kira-kira 10 kilometer dan 4 kilometer dari Bandar Bachok melalui jalan pantai Kubang Kawah,Perupok.Keluasan kampong Pondok Beris Kubur Besar kira-kira 0.4 batu persegi..Sekarang ini didiami oleh kira-kira 50 keluarga dengan jumlah penduduk 250 orang (sehingga tahun 1989).

Pada masa silam,kampong ini dikenali dengan nama Kampung Panchor Tok Udin.Berhampiran kampong ini terdapat sebuah perkuburan orang Islam yang paling besar dalam daerah Tanjung Pauh,tanahnya adalah berpasir beris.

Setelah Tuan Guru Hj. Awang Nuh bin Awang Senik dari Kampung Bawal,Banggu berpindah di kampong ini,beliau membina sebuah surau (balaisah) tempat sembahyang dan mengajar pelajaran agama Islam hingga kemudiannya membentuk satu corak pendidikan yang lebih teratur iaitu sebagaimana disebut sistem pengajian pondok.Ramai murid-murid dari jauh dan dekat mendirikan pondok dikawasan sekitar rumahnya,dimana pada suatu masa ada terdapat lebih kurang 200 orang di pondok bujang dan kelamin yang didirikan.Nama Kampung Panchor Tok Udin mulai tenggelam beransur-ansur dan orang lebih suka menyebut Kampung Pondok Tok Guru Hj. Awang Nuh Beris Kubur Besar.

 

Tapak sekolah :

Madrasah Al-Amir Indra Petra mula-mula didirikan berhampiran rumah dan balaisah tuan guru pada tahun 1942 iaitu kira-kira ditapak balaisah sekarang ini.Apabila sekolah ini mendapat kepercayaan masyarakat dan pelajarnya meningkat dari 13-15 orang kepada 30 orang lebih dan bangunan terpaksa diperbesarkan.Tuan Guru Hj. Awang Nuh yang mempunyai pandangan jauh itu berusaha mendapatkan tapak sekolah yang sesuai.

Keyakinan Tuan Guru Hj. Awang Nuh kepada pengajian system persekolahan ini menarik perhatian dan mendapat sokongan padu ayah kepada ayah mertuanya En. Abdul Rahman (lebih dikenali dengan gelaran Pak Ngah Deraman) serta ayah mertuanya sendiri Hj Abdullah bin Abdul Rahman dimana mereka telah mewakafkan 4 ekar untuk tapak ini.Tapak sekolah Kebangsaan Beris Kubur Besar sekarang adalah sebahagian daripada tanah yang diwakafkan itu (lot 2736-1.852 ekar).
Setelah beberapa tahun Tuan Guru Hj. Awang Nuh memperluaskan lagi tapak sekolah ini dengan membeli 4 ekar tanah dari Awang Lembah (Wak Bir) iaitu seorang keturunan cina yang memeluk Islam dan Awang Jenera serta adik beradiknya.

Keluasan tapak sekolah Amir Indra Petra sekarang ialah hampir 7 ekar :
1)    No. lot : 2601 – 2.687 ekar
2)    No. lot : 2288 – 4.127 ekar

Tenaga pengajar :

Pada peringkat awal penubuhan Madrasah  Amir Indra Petra iaitu pada tahun 1942M/1361H guru sepenuh masa yang mengajar di madrasah ini ialah Ustaz Hj. Yusuf bin Abdullah.Beliau dibantu oleh tenaga sambilan iaitu Hj. Mohd Noor yang mengajar tulisan rumi dan Hj. Muhammad (bekas imam Lubuk Pukul). Pada tahun 1946,guru terpaksa ditambah lagi iaitu Ustaz Yusuf bin Puteh dan Ustaz Hasan bin Ismail.Jumlah guru semuanya ialah 6 orang.

Dalam tahun 1950-an bilangan guru di sekolah ini tidak sampai 10 orang.Di antara mereka yang pernah bertugas di sekolah ini ialah Ustaz Abu Bakar,Ustaz Muhammad bin Hj. Yaacob,Ustaz Abdullah bin hussin,Ustaz Yusuf bin Daud,Ustaz Hj. Zakaria bin Ismail (tokoh guru Yayasan Islam Kelantan 1987),Ustaz Yusuf bin Hj. Awang,Ustaz Zamakhsyari,Ustaz Zailani bin Jaafar (bekas ahli exco kerajaan negeri Kelantan).

Mengikut penyata tahunan Majlis ugama Islam Kelantan bagi tahun 1960 pula menyebut bahawa jumlah guru pada tahun ini ialah seramai 6 orang.Pada tahun 1968 bilangan guru tidak berubah iaitu 6 orang.Tetapi dalam tahun 1969 seorang guru bahasa Inggeris telah dihantar oleh Majlis Ugama Islam Kelantan ke Madrasah Al-Amir Indra Petra menjadikan  jumlahnya seramai 7 orang.Manakala pada tahun 1970 jumlah guru bertambah kepada 8 orang.

Pertambahan guru dapat dilihat dengan jelas mulai tahun 1976 sebagaimana data berikut :

Tahun         Bilangan guru
1975        7 orang
1976        9
1977        12
1978        12
1979        21
1980        29
1981        41
1982        43
1983        52
1984        50
1985        51
1986        53
1987        70
1988        69
1989        74

Guru-guru yang ditugaskan untuk mengajar terdiri dari berbagai kategori dan opsyen sama ada akademik atau arab/agama.

Guru Besar

Guru besar pertama Madrasah Al-Amir Indra Petra ialah Ustaz yusuf bin Hj. Abdullah.Ustaz Hj. Wan Ahmad bin Wan Ali adalah guru besar pertama apabila sekolah ini diambilalih oleh Majlis Agama Islam Kelantan.Beliau bertugas dari tahun 1947-1948,berasal dari Jalan Gajah Mati,Kota Bharu.Selepas Ustaz Hj. Wan Ahmad,jawatan guru besar dipangku oleh Ustaz Zakaria bin Hj. Yaacob dari Kampung Nipah.Jawatan ini kemudian disandang oleh Ustaz Hj. Mohd Noor bin Hj. Yusuf.Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pas Kawasan Pilihanraya Tawang.

Pada tahun 1956,kerusi guru besar diduduki oleh Allahyarham Ustaz hasan bin Yusuf.Tempoh perkhidmatan beliau ialah selama 23 tahun.Beliau merupakan guru besar yang paling lama berkhidmat di sekolah ini.Walau bagaimanapun beliau pernah bertukar dari sekolah ini ke Madrasah Yaakubiah,Nipah selama satu bulan sahaja,tetapi kerana desakan masyarakat kampong Beris Kubur Besar,beliau ditukar balik ke Madrasah Al-Amir Indra Petra.Pertukaran berlaku diantara beliau dengan Ustaz Muhammad bin Hj. Yaakob.Peristiwa ini berlaku dalam bulan April/Mei 1959.

Setelah Allahyarham Ustaz Hassan dilantik menjadi Nazir Yayasan Pelajaran Islam Negeri Kelantan,jawatan guru besar dipegang oleh Ustaz Zakaria bin Abdul Latif.Beliau menjawat jawatan tersebut dari tahun 1979-1982.Beliau tinggal di Kampung Pondok Beris Kubur Besar.Setelah beliau bersara dari perkhidmatan perguruan yayasan Islam Kelantan,jawatan guru besar disandang oleh Ustaz Ashaari bin Ishak tahun 1983-1988.

Bilangan Pelajar :

Pada awal penubuhan sekolah ini,terdapat diantara 13-15 orang pelajar sahaja.Setiap tahun pelajar sekolah ini bertambah ramai yang menyebabkan sekolah berbentuk ‘bangsal buluh’ ini terpaksa diperluaskan.Pertambahan ini meningkat kepada 30 orang.Waktu pembelajaran dijalankan pada waktu siang.Manakala pada waktu malam pula,bangunan bangsal buluh ini dipenuhi oleh orang dewasa yang ingin mempelajari agama.

Dalam tahun 1966M/1386H bilangan pelajar ialah 280 orang iaitu 237 orang penuntut lelaki dan 43 orang penuntut perempuan.Pada tahun 1968M/1388H bilangan murid berjumlah 259 orang.Bilangan ini agak merosot dan pada masa itu terdapat 6 kelas iaitu dari darjah 1 hingga darjah 6 dan mempunyai 6 orang guru.Dalam tahun 1969M/1389H pula jumlah pelajar terus merosot,hanya 200 orang pelajar sahaja pada tahun tersebut.Pada tahun 1970M/1390H bilangan murid yang belajar hanya berjumlah 183 orang iaitu 103 lelaki dan 80 perempuan.

Kedudukan bilangan murid pada tahun 1970-an adalah berlainan dengan tahun 1960-an.Ia memperlihatkan sedikit pertambahan.Umpamanya dalam tahun 1975M/1395H,bilangan penuntut berjumlah 201 orang iaitu 48 orang dalam darjah peralihan,67 orang tingkatan satu,50 orang tingkatan 2 dan 36 orang tingkatan 3.Manakala bilangan bilik darjah sebanyak 5 buah.

Memandangkan keputusan peperiksaan yang baik pada setiap tahun serta pembangunan fizikal yang mendadak,maka masyarakat Islam mula memberi kepercayaan dan keyakinan kepada Madrasah Amir Indra Petra.

Tahun-tahun kebelakangan ini menunjukkan permintaan kemasukan pelajar baru terus meningkat hingga melebihi tawaran kemasukan.Tawaran kemasukan terpaksa dihadkan kerana kekurangan bilik darjah untuk menampung pertambahan pelajar.Contohnya pada tahun 1986M/1406H pihak sekolah memerlukan sekadar 200 orang pelajar baru tingkatan peralihan sahaja sesuai dengan kuota yang ditetapkan iaitu 40 orang pelajar untuk sebuah kelas dimana hanya 5 kelas sahaja dibenarkan oleh Yayasan Islam Kelantan,tetapi permohonan untuk memasuki kelas peralihan melebihi 250 orang.Justeru itu,pihak sekolah terpaksa menolak baki permohonan.

©2018 Hak Cipta Terpelihara

Unit ICT & Multimedia

Maahad Amir Indra Petra

Jumlah Pelawat

Nas Tashbahlana - Maher Zain
00:00 / 00:00
bottom of page